SITI Hamisah (tiga kanan) diberi penerangan daripada Ketua Jabatan Perkonsian Institusi Perindustrian Antarabangsan UniKL, Dr Faridah Mustaffa Bakry (tiga kiri) berhubung Sistem Metro Signaling ketika lawatan ke Pameran Inovasi GLU. FOTO Owee Ah Chun
Idris berucap pada Forum Pengurusan Universiti Berkaitan Kerajaan (GLU) 2017, semalam.
Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my


Putrajaya: Semua 20 Universiti Awam (UA) akan dijadikan kampus pintar atau kampus digital menjelang Jun tahun depan, selaras dengan usaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengadaptasi teknologi dalam pendidikan tinggi negara.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi KPT Datin Paduka Dr Siti Hamisah Tapsir berkata, ketika ini Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengaplikasikan pendekatan itu dengan menggunapakai aplikasi bacaan kod Respons Pantas (QR) kepada penuntutnya.

“Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh meletakkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) supaya semua UA dijadikan kampus pintar menjelang Jun 2018.

“Ini bermakna mereka (penuntut) menggunakan kod QR untuk setiap pembelian, pendaftaran, peminjaman buku dan sebagainya, jadi sebarang urusan di kampus beroperasi tanpa tunai dan kad,” katanya ketika ditemui media selepas menyampaikan ucap tama pada Forum Pengurusan Universiti Berkaitan Kerajaan (GLU) 2017 di sini, semalam.

Turut hadir Naib Canselor Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) Profesor Datuk Dr Kamal Nasharuddin Mustapha; Timbalan Naib Canselor (Akademik) Universiti Teknologi Petronas (UTP) Profesor Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib; Presiden Universiti Multimedia (MMU) Profesor Datuk Dr Ahmad Rafi Mohamed Eshaq dan Presiden UniKL Profesor Datuk Dr Mazliham Mohd Su’ud.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2017 @ 8:59 AM