Shamsul Amar (dua dari kiri) menunjukkan gambar daripada CCTV dan barangan yang diperoleh daripada suspek kes samun kedai sebaneka 24 jam pada sidang media, semalam..
Iskandar Shah Mohamed

Klang: Kegiatan tiga lelaki termasuk pasangan beradik yang baru berjinak-jinak menyamun kedai serbaneka 24 jam di sekitar daerah ini mengundang padah apabila mereka dicekup polis secara berasingan.

Difahamkan, mereka yang berusia 20 hingga 25 tahun itu turut menggunakan kayu besbol untuk menggertak pekerja premis dan melarikan barangan terutama rokok di kaunter.

Perbuatan itu bagaimanapun berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) premis dan membawa kepada penahanan mereka dalam tiga siri serbuan di sekitar Pandamaran dan Pendamar Indah, Jumaat minggu lalu dan kelmarin.

Kejayaan itu hasil operasi khas Ops 73 Alif yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, penahanan dilakukan hasil maklumat kes samun membabitkan sebuah kedai serbaneka di Bandar Bukit Tinggi, jam 4.30 pagi Rabu minggu lalu.

“Dalam kejadian itu, dua lelaki didapati menggertak pekerja premis dengan pisau sebelum melarikan 20 kotak rokok serta beberapa barangan lain.

“Bertindak atas maklumat, kami kemudian menahan dua suspek termasuk ketua kumpulan berkenaan di Pandamaran, jam 4 petang dan merampas kayu besbol, topi keledar serta motosikal yang digunakan untuk menyamun,” katanya pada sidang media di pejabatnya, semalam.

Menurutnya, siasatan lanjut kemudian menahan seorang lagi individu yang juga abang kepada suspek di sebuah rumah di Pendamar Indah, jam 2.44 pagi kelmarin.

Shamsul Amar berkata, kumpulan itu dipercayai baru menjalankan jenayah berkenaan dan terbabit dalam dua kes samun kedai serbaneka 24 jam di daerah itu.

“Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan seorang lagi lelaki dikenali sebagai ‘Abon’ yang menghilangkan diri.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan dengan senjata,” katanya sambil memaklumkan suspek direman sehingga Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2017 @ 9:27 AM