MBKT melakukan serbuan ke atas motosikal yang di parkir sesukahati di kaki lima di Jalan Sultan Ismail, Jalan Engku Embong Fatimah dan di hadapan Hentian Bas MBKT.
Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Terengganu: “Sekejap je boh,” itu alasan digunakan kebanyakan penunggang motosikal yang parkir kenderaan mereka di kawasan larangan di sekitar pusat bandar raya ini.

Bagaimanapun, alasan diberikan itu tidak diendahkan anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dengan menyita 18 motosikal selepas dikesan melanggar peraturan kerana meletak motosikal menyebabkan halangan di tempat awam, semalam.

Datuk Bandar Kuala Terengganu Mohd Zulkifli Abu Bakar berkata, MBKT menjalankan operasi menyita motosikal dan mengunci tayar kereta setiap bulan.

Menurutnya, sejak awal November lalu 100 motosikal sudah disita kerana pemiliknya didapati melakukan kesalahan sama.

“Operasi hari ini (semalam) dijalankan di sekitar bandar raya dan kawasan tumpuan di Jalan Sultan Ismail, Jalan Engku Embong Fatimah selain di hadapan Hentian Bas MBKT.

“Tujuan kami mengambil tindakan tegas tanpa kompromi ini adalah bertujuan untuk mendidik orang ramai supaya akur dengan peraturan yang ditetapkan.

“Parkir motosikal sudah disediakan MBKT, tiada alasan kepada mereka untuk parkir motosikal di kawasan kaki lima atau di lokasi larangan.

“Lebih 250 petak parkir motosikal disediakan di kawasan pusat bandar raya dan seharusnya dimanfaatkan kemudahan itu sebaik mungkin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2017 @ 9:42 AM