Anggota bomba dibantu penduduk kampung berusaha mengeluarkan lembu dari dalam longkang.

ANGGOTA Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampar menyelamatkan lembu yang terperangkap dalam longkang berhampiran Lorong 10, Kampung Baru New Ah Long, Kampar pagi ini.

BBP Kampar menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 9.17 pagi dan segera ke lokasi kejadian untuk menyelamatkan lembu yang dianggarkan seberat lebih 100 kilogram itu.

Ketua Operasinya, Arshad Ahmad berkata, lima anggota bomba mengambil masa kira-kira lapan minit bagi mengeluarkan lembu yang terperangkap dalam longkang itu.

Beliau berkata, orang awam sebelum itu cuba mengeluarkan lembu itu namun gagal.

“Anggota bomba menggunakan tali serta hos bagi membantu lembu itu naik ke atas tebing longkang.

"Orang awam turut membantu mengeluarkan lembu itu sebelum diserahkan kepada pemiliknya. Operasi tamat sekitar 10.10 pagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2017 @ 1:45 PM