Norizuan Shamsuddin

POLIS menahan dua individu termasuk wanita selepas disyaki mendera kanak-kanak berusia 12 tahun di pusat jagaan kanak-kanak di Taman Desa Mas, Bandar Country Homes, Rawang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, penahanan dua suspek terbabit dilakukan susulan aduan diterima daripada pihak keluarga kanak-kanak berkenaan, pada 3.26 petang, semalam.

"Berdasarkan laporan pengadu mendakwa mangsa dirantai dan tidak diberi makan dan terdapat kesan luka, calar, lebam, ditangan, kaki dan kepala serta kesan bengkak pada bibir dan mata kanan dipercayai kesan tumbukan.

"Mangsa dipercayai didera ketika berada di pusat jagaan kanak-kanak terbabit dan menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.

"Susulan itu, pihak polis menahan dua penjaga pusat jagaan kanak-kanak berkenaan membabitkan seorang wanita berusia 29 tahun dan lelaki berusia 32 tahun, pada 12.15 tengah malam bagi siasatan lanjut," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2017 @ 11:38 PM