PESERTA melihat ternakan ikan kolam di Kampung Pela.

Kuala Berang: “Sebelum ini kami hanya menjalankan projek tanaman timun berkelompok dan selepas 11 tahun usaha itu berjaya, kami beralih menjalankan ternakan ikan pula.

“Projek terbaru ternakan ikan kolam yang diusahakan sejak Julai lalu itu dijangka mengeluarkan hasil pada bulan depan dan ia satu lagi usaha meningkatkan pendapatan petani setempat,” kata Abdul Rahman Mohamad, 53, seorang peserta tanaman timun dan kolam ikan berkelompok di Kampung Pela, di sini.

Menurutnya, peserta tanaman timun seramai 17 orang manakala 10 daripadanya terpilih menyertai ternakan ikan berkelompok pula dan secara tidak langsung mampu meningkatkan pendapatan peserta kerana menjalankan dua kerja dalam satu masa.

Katanya, kawasan pertanian berkelompok ini seluas 17 hektar dan hanya lima hektar baru digunakan manakala bakinya diguna secara berperingkat bagi membangunkan ekonomi penduduk setempat.

Abdul Rahman berkata, cubaan menternak ikan kolam bakal membuahkan hasil dan apabila dituai nanti, pulangan kasarnya dijangka dapat dikutip sekitar RM60,000 bagi 10 kolam ikan tilapia itu.

“Bagi tanaman timun, perolehan kasar bagi satu plot iaitu RM6,000 ditambah pula dengan pendapatan sampingan menternak ikan kolam dan ia memberi sedikit kelegaan kepada petani di kawasan ini.

“Projek tanaman timun dibantu Jabatan Pertanian dan Pertubuhan Peladang manakala ternakan ikan pula mendapat kerjasama Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) dan dipantau Jabatan Perikanan,” katanya.


Dahlan Selimi memberi makan ikan yang diternak di dalam kolam secara berkelompok di Kampung Pela.

Menurutnya, ditolak dengan kos baja dan makanan ikan selain input pertanian lain, setiap peserta dijangka mampu meraih pendapatan lebih RM1,500 sebulan, sekali gus dapat menampung kos sara hidup seharian mereka.

Seorang lagi peserta, Awang Ahmad, 57, berkata, projek yang dibangunkan itu bermanfaat kepadanya kerana mampu memberi pulangan lumayan bagi menampung kos sara hidupnya sekeluarga.

“Saya bersyukur kerana sebelum ini terpilih mengusahakan tanaman timun berkelompok dan kali ini diberi peluang menternak ikan dalam kolam.

“Saya akui kedua-dua projek berkenaan memberi kesan positif terutama dari segi pendapatan kami kerana mampu meraih pulangan setimpal dengan usaha dilakukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2017 @ 8:02 AM