MUHAINI Samsi
Suliati Asri


Kuala Lumpur: “Setahun saya hilang arah kerana tidak boleh menerima hakikat jari hingga pergelangan tangan hancur dimamah mesin pengisar.

“Bayangkan selama 20 tahun hidup sempurna, tiba-tiba tiada tangan. Tuhan saja tahu betapa hancurnya hati saya,” kata guru tadika, Muhaini Samsi, 26.

Muhaini antara 13 pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang dipaparkan kisahnya menerusi rancangan realiti televisyen, Inspirasi Harapan melalui program Return To Work.

Mengimbau kejadian enam tahun lalu, kata Muhaini, pada awalnya dia tidak dapat menerima hakikat jari hingga ke pergelangan tangan kanannya hancur bersama ubi keledek yang dikisar ketika bekerja di kilang memproses makanan sejuk beku.

“Ketika kejadian, saya benar-benar tidak sedar jari saya turut terkisar. Ia berlaku begitu pantas dan apabila sedar, jari hingga ke pergelangan tangan hancur.

“Saya ambil masa lama untuk pulih sepenuhnya dan menguatkan diri keluar dari rumah untuk urusan tuntutan,” katanya.

Awalnya, Muhaini hanya tahu mengenai tuntutan biasa seperti cuti sakit dan hilang upaya sementara yang boleh diterima daripada kejadian.

Bagaimanapun, doktor di hospital yang memberitahu mengenai program Return To Work anjuran PERKESO.

“Saya terima banyak bantuan PERKESO bukan saja dari segi kewangan serta tangan palsu tetapi juga dorongan dan sokongan untuk meneruskan hidup dengan lebih berkeyakinan.

“Di samping itu, PERKESO turut mencarikan pekerjaan diminati dan bersesuaian dengan keadaan fizikal saya,” katanya yang kini bekerja sebagai guru tadika di Shah Alam, Selangor.


Hariah (kanan) bersama Mohd Farouk Sheikh Mohamed dan Nithyah Manimaran (berkerusi roda) antara pencarum PERKESO yang kisahnya akan disiarkan menerusi program TV Inspirasi Harapan.

Seorang lagi pencarum yang juga peserta program realiti ini, Hariah Mohammad, 47, berterima kasih kepada PERKESO dengan bantuan yang diberikan.

“Kemalangan yang berlaku menyebabkan kaki saya pendek sebelah dan menerusi program Return To Work, banyak bantuan yang saya peroleh termasuk kasut khas bagi menyokong saya berdiri dengan seimbang selain bantuan kerusi roda serta tongkat.

“Walaupun saya tidak kembali bekerja sebaliknya berniaga, bantuan PERKESO berikan cukup bermakna bermula dari saya kemalangan sehingga boleh berjalan, ” katanya yang kini bergelar usahawan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2017 @ 8:13 AM