Dr Mah (tiga dari kanan) melihat ambulans yang diterima Jabatan Kesihatan Negeri Perak, hari ini. FOTO Farah Suhaidah Othman
Farah Suhaidah Othman


SEBANYAK 28 ambulans bernilai RM12.9 juta diterima Jabatan Kesihatan Negeri Perak bagi menambah baik perkhidmatan kesihatan dan kemudahan kepada pesakit.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, daripada jumlah ambulans diterima itu, 19 daripadanya mempunyai fungsi yang lebih terkini iaitu jenis Advanced manakala selebihnya jenis Basic™.

Katanya, bagi pesakit yang menghidapi penyakit kronik seperti penyakit jantung, mereka boleh mendapatkan rawatan kecemasan awal dalam ambulans jenis Advanced tanpa perlu menunggu rawatan di wad kecemasan.

“Kelengkapan yang lebih terkini dalam ambulans berkenaan mampu memberikan rawatan kecemasan kepada pesakit terbabit sekali gus dapat menjimatkan masa untuk merawat pesakit.

“Ambulans jenama Toyota ini setiap satunya dilengkapi kelengkapan perubatan berharga RM489,000 bagi jenis Advanced manakala bagi jenis Basic berharga RM411,000,”  katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan ambulans berkenaan kepada Jabatan Kesihatan Negeri di Ipoh, hari ini.

Dr Mah berkata, sebanyak 55 ambulans baharu diperuntukkan di negeri ini menerusi Rancangan Malaysia ke-11 dan diserahkan kepada jabatan terbabit secara berperingkat.

“Hari ini, Jabatan Kesihatan negeri menerima 28 ambulans jenama Toyota bagi kegunaan hospital di negeri ini manakala 27 ambulans lagi akan diserahkan kepada klinik kesihatan pada tahun hadapan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2017 @ 4:35 PM