Rambai dan Abot memujuk gajah betina (tengah). FOTO Nor Raidah Awang
Nor Raidah Awang


SEEKOR gajah betina yang memusnahkan tanaman penduduk di Felda Bersia sejak beberapa minggu lalu ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) di Gerik, hari ini.

Pengarah PERHILITAN Perak Wan Shaharuddin Wan Nordin berkata, pihaknya menerima aduan mengenai gajah yang memusnahkan tanaman pertanian penduduk pada 15 November lalu.

Katanya, gajah dianggarkan seberat dua tan berusia antara 25 hingga 30 tahun itu ditangkap di kawasan belukar kebun penduduk di Felda Bersia.

"Gajah berkenaan dipercayai datang dari Hutan Simpan Temenggor Gerik.

"Usaha memujuk gajah liar itu dilakukan dengan menggunakan dua gajah denak iaitu Rambai dan Abot.

"Gajah berkenaan kemudian dipindahkan ke Taman Negeri Royal Belum," katanya.

Beliau berkata, operasi pemindahan itu berjalan lancar bermula 9 pagi dan berakhir 1 tengah hari membabitkan seramai 15 orang dari PERHILITAN Perak manakala 10 daripada Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang dan dibantu anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Gerik, Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Temengor, Jabatan Kerja Raya Gerik serta Polis Diraja Malaysia.

Katanya, operasi pemindahan gajah itu membabitkan kos dianggarkan antara RM40,000.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2017 @ 7:41 PM