Zakaria semasa sidang media FGV. FOTO Yazit Razali
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my


FELDA Global Ventures Bhd (FGV) mencatat keuntungan sebelum zakat dan cukai (PBZT) sebanyak RM170 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2017, berbanding RM44 juta pada tempoh sama tahun lalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Zakaria Arshad berkata, pencapaian terbabit adalah peningkatan sebanyak 100 peratus yang disumbangkan oleh sektor perladangan, logistik dan lain-lain (LO).

Beliau berkata, prestasi kukuh berkenaan disebabkan oleh pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) yang tinggi sebanyak 10 peratus disokong oleh peningkatan pengeluaran buah tandan segar (BTS) sebanyak tiga peratus kepada 3.07 juta tan.

"Kita melihat pencapaian cemerlang ini adalah bersandarkan kepada harga MSM yang tinggi, untung daripada syarikat kerjasama dan margin tinggi daripada perniagaan baja.

"Selain itu, sektor LO mencatatkan keuntungan berikutan peningkatan jumlah tan dalam operasi pengangkutan selari dengan kenaikan jumlah pengeluaran MSM," katanya pada sidang media pengumuman prestasi kewangan suku ketiga FGV di Kuala Lumpur hari ini.

Lembaga Pengarah FGV juga mengumumkan dividen interim sebanyak lima sen sesaham kepada 3.648 juta saham biasa di bawah sistem peringkat tunggal bagi suku tahun berakhir 30 September 2017 berjumlah RM182.41 juta dan dijangka dibayar pada 28 Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2017 @ 8:27 PM