Muhammad Long (kanan) melihat rumahnya yang rosak selepas ditimpa pokok mempelam. FOTO Syafiq Ambak
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


LELAKI kurang upaya dan adiknya terselamat apabila dapur rumah mereka di Kampung Teluk Menara, Manir, Kuala Terengganu, ranap ditimpa pokok, malam tadi.

Dua beradik terbabit bernasib baik kerana berada di ruang tamu ketika pokok mangga itu tumbang, pada kira-kira 7 malam.

Muhammad Asri Muhammad, 36, yang mengalami masalah lembam ketika itu berada di rumah bersama adiknya, Muhammad Asmawi, 31.

Bapa mereka, Muhammad Long, 66, berkata, dia terkejut apabila diberitahu mengenai kejdian itu setibanya di rumah dari tempat kerja.

“Tapi saya bersyukur kerana tiada kejadian buruk menimpa dua anak saya. Mujurlah dua anak saya waktu kejadian itu tidak berada di dapur,” katanya.

Muhammad berkata, dia bimbang rumah berusia 40 tahun itu roboh kerana sudah uzur jika pokok itu tidak dialihkan segera.

Katanya, dia sudah memaklumkan kejadian itu kepada pihak berkuasa untuk meminta bantuan mengalihkan pokok berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2017 @ 1:18 AM