X
GELAGAT murid ketika beratur bagi mengambil slip peperiksaan UPSR dan Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) 2017 di Sekolah Kebangsaan Raja Muda Seksyen 4, Shah Alam.
GELAGAT murid ketika beratur bagi mengambil slip peperiksaan UPSR dan Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) 2017 di Sekolah Kebangsaan Raja Muda Seksyen 4, Shah Alam.
Faliq Lajim

Shah Alam: Kebanyakan ibu bapa meluahkan reaksi positif mengenai kaedah pengumuman keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dengan pihak sekolah tidak meraikan dan membuat pengumuman murid yang memperoleh keputusan cemerlang.

Suri rumah, Nurhidayu Abdul Ghani, 47, berkata, langkah itu dianggap baik kerana tidak menjejaskan emosi calon sebagai kanak-kanak.

“Umum mengetahui emosi kanak-kanak mudah terganggu dan mereka juga kerap membandingkan diri dengan rakan sebaya lain.

“Akademik sememangnya penting, namun ia perlu selari dengan kokurikulum. Jika hanya mengukurnya dalam bidang itu, kita cuma mengetahui pencapaian akademik dan bukannya praktikal,” katanya ketika menemani anaknya, Sharifah Ameena Syed Ismail, 12, di Sekolah Kebangsaan (SK) Raja Muda, Seksyen 4 di sini, semalam.

Tinjauan Harian Metro mendapati pihak sekolah tidak membuat pengumuman keputusan cemerlang, namun hanya menyerahkan slip keputusan kepada 219 calon UPSR di sekolah berkenaan.

Langkah itu bagi menyahut saranan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya sekolah meraikan semua calon dan tidak hanya tertumpu kepada murid yang memperoleh semua A.

Nurhidayu berkata, menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk terus memberikan sokongan dan dorongan kepada anak berbanding hanya memarahi mereka.

“Jika anak sudah melakukan yang terbaik, kita harus belajar menerimanya dan memberi semangat selain memotivasikan mereka bahawa ia bukan pengakhiran,” katanya.

KPM sebelum ini mengumumkan keputusan UPSR tidak hanya sekadar kecemerlangan dalam bidang akademik, sebaliknya turut disertakan dengan pencapaian sepanjang enam tahun sesi persekolahan termasuk penilaian dalam bilik darjah serta aktiviti kokurikulum.

Selain UPSR, penilaian lain yang diambil kira ialah Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Alternatif Sekolah Rendah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2017 @ 6:59 AM