NUR Alissa Saffia (kanan) bersama rakan-rakan melihat slip keputusan Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) masing-masing di Sekolah Kebangsaan Paya Rawa.
Muhaamad Hafis Nawawi


Pendang: Anak pekebun sayur menjadi satu-satunya murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Rawa yang memperoleh 6A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2017.

Nur Alissa Saffia Mohd Mazlim, 12, dari Kampung Charok Binu, Guar Kepayang, di sini, bersyukur usahanya selama ini berbaloi apabila menerima keputusan itu.

Keputusan cemerlang itu diterima dengan penuh kesyukuran oleh bapanya Mohd Mazlim Md Salleh, 40, dan ibu, Siti Sarah Ahmad, 38, yang turut hadir semalam.

Nur Alissa berkata, dia bersyukur mendapat semua A dalam peperiksaan berkenaan dan menganggap ia sebagai hadiah buat ibu bapanya.

“Saya memang tidak sangka dapat 6A kerana saya kurang yakin dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris.

“Saya hanya fokus ketika guru mengajar dan mengulang kaji pelajaran setiap hari serta tidak meninggalkan solat.

“Saya juga sentiasa ingat pesan ibu yang minta saya belajar bersungguh-sungguh untuk masa depan selain inilah cara untuk saya gembirakan ibu bapa yang banyak berkorban,” katanya.

Sementara itu, Siti Sarah berkata, dia sentiasa mengingatkan anak sulungnya itu supaya rajin belajar demi masa depannya.

“Saya dan suami menanam bendi dan timun untuk sara keluarga. Kami tidak mampu berikan harta yang banyak selain ilmu kepada anak-anak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2017 @ 7:14 AM