Mangsa, Kassim Lajim, 52, dilaporkan menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira jam 11.30 malam tadi.
Razik Zayad
hmkk@hmetro.com.my

SEORANG daripada lima mangsa yang parah akibat melecur dalam insiden kebakaran sebuah stesen pencawang Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) malam Rabu lalu disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE 1), malam tadi.

Mangsa, Kassim Lajim, 52, dilaporkan menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira 11.30 malam tadi selepas mengalami kecederaan parah dalam insiden berkenaan.

Jurucakap SESB ketika dihubungi sebentar tadi berkata, jenazah akan dikuburkan di tanah perkuburan Islam Sungai Damit, di daerah Tuaran, pada tengah hari ini.

"Allahyarham yang bekerja sebagai kakitangan SESB sejak tahun 1983 itu meninggalkan seorang balu dan empat orang anak," katanya.

Dalam kejadian pada 10.50 malam Rabu lalu, lima kakitangan SESB parah akibat melecur selepas sebuah stesen pencawang berhampiran bangunan Api-Api, Jalan Coastal terbakar.

Semua mangsa yang berusia antara 25 hingga 60 tahun itu difahamkan sedang melakukan kerja-kerja pemulihan di stesen berkenaan sebelum kebakaran terbabit berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2017 @ 10:49 AM