Pemilik bengkel melibas parang mengenai pergelangan tangan mangsa.
Syazwan Msar
am@hmetro.com.my

 

Minta ganti rugi namun tangan pula hampir putus. Itu nasib menimpa seorang lelaki apabila ditetak pemilik bengkel yang mengamuk secara mendadak.

Difahamkan mangsa berusia 35 tahun sebelum ini menghantar keretanya untuk dibaiki di premis milik suspek di Batu 13, Kampung Simpang Balak, di sini.

Jurucakap  polis berkata, mangsa menghantar kereta Proton Wira untuk dibaiki di premis itu tiga bulan lalu.

Namun akibat kekangan kewangan, mangsa terpaksa membiarkan kenderaan itu berada di bengkel berkenaan berikutan kos baik pulih mencecah ratusan ringgit.

“Setiap hari mangsa yang bekerja sebagai juruteknik singgah untuk melihat kenderaannya bagi memastikan tiada sebarang masalah selain turut meminta pemilik bengkel menjaga keretanya.

“Namun kelmarin, mangsa mendapati beberapa komponen di bahagian enjin hilang selain aksesori di dalam keretanya dicabut pihak tertentu.

“Berikutan itu mangsa meminta pemilik bengkel menggantikan komponen dan aksesori keretanya yang hilang itu,” katanya.

Bagaimanapun pemilik bengkel berkenaan secara tiba-tiba mengamuk sebelum mengejar mangsa bersenjatakan parang.

“Pemilik bengkel melibas parang mengenai pergelangan tangan mangsa sebelum orang ramai yang menyaksikan kejadian segera menghulurkan bantuan.

“Suspek terus melarikan diri manakala mangsa dihantar ke hospital berdekatan untuk rawatan susulan,” katanya yang memberitahu mangsa turut membuat laporan polis di Balai Polis Kajang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2017 @ 11:59 AM