Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


DUA pegawai perubatan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini, atas pertuduhan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) lucah kepada seorang wanita, tiga tahun lalu.

Nur Zeland Ithnin, 57, yang bertugas di sebuah klinik di Rompin, Pahang, berdepan tujuh pertuduhan manakala rakannya, Othman Kadir, 58, yang bertugas di Jasin, Melaka, berdepan tiga pertuduhan.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Ahmad Fairuz Mohd Puzi.

Nur Zeland didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran tujuh komunikasi bersifat lucah ke nombor telefon milik mangsa dengan niat menyakitkan hati.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 5.26 hingga 9.20 pagi pada 16 hingga 19 Ogos 2014 yang mana SMS itu dibaca di sebuah rumah di Bandar Baru Sunggala, Port Dickson.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun, jika sabit kesalahan.

Selain itu, Othman turut didakwa melakukan perbuatan berkenaan terhadap wanita sama antara 12.29 tengah malam hingga 4.03 pagi pada 6 hingga 7 Ogos 2014.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Nazrul Nizam Mohd Zameri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan Nur Zeland diikat jamin RM1,500 dan Othman RM1,000 selain menetapkan 27 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2017 @ 2:30 PM
Nur Zeland (kanan) dan Othman dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini, atas pertuduhan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) lucah kepada seorang wanita, tiga tahun lalu. FOTO Hazreen Mohamad