Nor Azura Abdul Jalil


TUKANG jahit yang menjadi saksi pendakwaan ke-37 dalam perbicaraan kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais dihukum penjara empat tahun oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini, atas pertuduhan memberikan keterangan palsu kepada mahkamah, tahun lalu.

Majistret Namirah Hanum Mohamed Albaki menjatuhkan hukuman itu terhadap S Yogeswary, 37, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh jatuh hukum selain tertuduh diarahkan membayar kos pendakwaan sebanyak RM1,500.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan peguam J Jayarubbiny yang mewakili tertuduh untuk penangguhan pelaksanaan hukuman dan mengarahkan notis rayuan difailkan pada atau sebelum 30 November ini.

Tertuduh dibenarkan jaminan RM13,000 dengan seorang penjamin.

Terdahulu, Jayarubbiny merayu mahkamah tidak mengenakan hukuman penjara kepada anak guamnya atas alasan ia adalah kesalahan pertama wanita itu yang juga seorang ibu tunggal.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Izzat Fauzan memohon mahkamah mengenakan hukuman pemenjaraan kerana kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius.

"Keterangan palsu itu juga secara langsung menyukarkan dan menghalang pihak pendakwaan untuk menggunakan keterangan sedia ada untuk menyokong kes berprofil tinggi itu.

"Tindakannya memberi keterangan palsu seolah cuba melindungi tertuduh dalam kes pembunuhan itu," katanya.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memberi keterangan palsu di mahkamah ketika menjadi saksi di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah di Mahkamah Tinggi pada 11 pagi, 27 September 2016.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Sepanjang prosiding perbicaraan kes itu, pihak pendakwaan dan pembelaan masing-masing memanggil enam dan tiga saksi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2017 @ 3:50 PM