Pegawai penguat kuasa KPDNKK menunjukkan beg jenama LV tiruan yang dirampas. FOTO Rudy Syareme Sheriffudin
Pegawai penguat kuasa KPDNKK menunjukkan beg jenama LV tiruan yang dirampas. FOTO Rudy Syareme Sheriffudin
Rudy Syareme Sheriffudin


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pulau Pinang merampas beg tiruan pelbagai jenama bernilai RM21,000 di sebuah premis di Jelutong, Georgetown, hari ini.

Dalam operasi 11 pagi itu sepasukan 10 pegawai penguat kuasa KPDNKK bersama pemilik cop dagangan jenama memeriksa sebuah premis.

Ketua Unit Perihal Dagangan KPDNKK Pulau Pinang, Mohd Fakhrie Abdullah berkata, dalam pemeriksaan itu pihaknya menemui beg tangan wanita tiruan gred A yang direka bentuk dengan pelbagai jenama terkenal yang dipercayai dibawa masuk dari China.

Beliau berkata, semasa pemeriksaan dilakukan, semua beg ditemui di dalam kotak selain disyaki akan ditampal label baru selepas menerima tempahan daripada pelanggan.

Katanya, pemeriksaan mendapati syarikat itu menerima tempahan pelanggan melalui laman niaga terkenal.

“Setiap beg yang dijual itu dipercayai dipasarkan melalui laman web pada harga jauh lebih murah daripada pasaran.

“Pemeriksaan mendapati harga bagi setiap beg yang dijual adalah antara RM200 hingga RM700 mengikut jenama seperti Bonia, LV, Christian Dior, Prada dan Coach,” katanya hari ini.

Beliau berkata, seorang lelaki berusia 40-an ditahan dan dibawa ke Pejabat KPDNKK untuk diambil keterangan.

“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 8 (2) Akta Perihal Dagangan 2011 dan sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 bagi setiap unit barang atau tiga tahun penjara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2017 @ 5:02 PM