DATUK Tajul Urus Mat Zain menyerah bantuan tilan,bantal dan selimut kepada mangsa yang terbabit banjir di Merbok awal bulan ini. FOTO Omar Osman


SERAMAI 1,379 mangsa banjir di kawasan Merbok, Sungai Petani yang terjejas awal bulan ini sudah menerima bantuan disalurkan kerajaan melalui Kelab Putra 1Malaysia (KP1M).

Hujan lebat lebih 17 jam awal bulan ini menyebabkan kampung sekitar Tanjung Dawai, Semeling, Bedong, Sungai Lalang serta Kampung Jerung dilanda banjir.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, dua minggu lalu seramai 179 mangsa banjir sekitar Bukit Selambau sudah menerima bantuan berupa tilam, bantal, selimut serta periuk, selain barangan keperluan harian turut disalurkan.

Menurutnya, seramai 1,200 mangsa banjir di sekitar Tanjung Dawai, Bujang, Merbok, Sungai Lalang Semeling dan Bedong turut menerima bantuan tilam, bantal serta selimut.

"Kerajaan sentiasa prihatin dengan nasib yang menimpa mangsa banjir dan berusaha sedaya upaya membantu.

"Saya berharap mana-mana mangsa banjir yang tidak menerima bantuan boleh memohon di Pejabat ADUN supaya bantuan dapat disalur secepat mungkin.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan bantuan tilam, bantal dan selimut kepada 1,200 penerima di Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Pial, Tanjung Dawai semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2017 @ 9:11 PM