ORANG ramai mengambil kesempatan mengunjungi Karnival Kewangan Sarawak 2017 yang berlangsung di Pusat Konvensyen CityOne, semalam.
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my


Kuching: Syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang mengalami kesukaran dalam membayar balik pembiayaan diseru supaya melakukan proses penjadualan dan penstrukturan semula (R&R) bagi mengelakkan tekanan kepada akaun masing-masing.

Pengarah Bahagian Pembangunan Kewangan dan Perusahaan Bank Negara Malaysia (BNM) Marina Abdul Kahar berkata, langkah itu perlu dilakukan pada peringkat awal bagi memastikan tiada tindakan undang-undang diambil institusi perbankan.

“Pihak bank juga perlu sama membantu PKS yang mengalami masalah ini pada peringkat awal bagi memastikan ia tidak memberi kesan bukan saja kepada merekam malah PKS,” katanya pada Karnival Kewangan Sarawak 2017 di sini, semalam.

Data BNM menunjukkan lebih 14,000 akaun PKS yang mengalami kesukaran dalam pembayaran balik pembiayaan itu dibantu melalui proses R&R dalam tempoh antara 2008 hingga 2016.

Beliau berkata, institusi perbankan kini agresif dalam membantu PKS melakukan proses R&R di mana 97 peratus daripada jumlah akaun berkenaan dibantu bank.

Menurutnya, BNM turut memberi bantuan kepada sejumlah akaun PKS yang mengalami tekanan itu dengan tiga peratus daripadanya dibantu melalui Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (SDRS).

“Melalui skim itu, kami berjaya membantu 1,042 akaun PKS yang memiliki nilai RM1.3 bilion dalam tempoh 2005 hingga 2017.

“Daripada jumlah itu, 56 peratus melakukan semakan semula ke atas akaun masing-masing manakala 73 peratus berjaya menyelesaikan dan membayar jumlah pembiayaan yang mengalami masalah,” katanya.

Sementara itu, Karnival Kewangan Sarawak 2017 berjaya menarik kunjungan dalam kalangan penduduk setempat di mana mereka berpeluang mendapatkan maklumat mengenai hal-hal kewangan termasuk perkhidmatan sedia ada yang boleh membantu dalam menguruskan kewangan dengan lebih berkesan.

Acara yang disertai kira-kira 60 penyedia perkhidmatan kewangan, persatuan dan agensi berkaitan berlangsung tiga hari bermula 24 hingga 26 November ini di Pusat Konvensyen CityOne, Kuching.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2017 @ 4:58 AM