ORANG ramai hadir pada program Hari Bertemu Pelanggan 2017 di Ibu Pejabat Lembaga Zakat Selangor, Shah Alam.
Siti Nor Amirah Abu Bakar

Shah Alam: Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperkenalkan program ‘8 to 8’ yang memberi ruang kepada orang ramai untuk mula dan menambah caruman bulanan zakat mengikut taksiran terkini melalui kemudahan pembayaran Skim Potongan Gaji (SPG).

Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS Abdul Basith Hamid berkata, program itu dapat membantu masyarakat melunaskan tuntutan zakat demi kelangsungan kehidupan pada masa depan.

Beliau berkata, LZS turut mengetengahkan tema ‘Berbahagia Dengan Memberi’ melalui kempen yang bermula dari 15 Ogos lalu hingga 31 Disember ini.

“Ia bertujuan menggalakkan individu yang layak menunaikan zakat untuk mula mencarum zakat secara bulanan serendah RM8.

“Manakala bagi pencarum zakat sedia ada, disaran untuk mentaksir semula zakat serta menambah jumlah potongan zakat bulanan bagi menyantuni lapan golongan asnaf di Selangor,” katanya ditemui pada program Hari Bertemu Pelanggan 2017 di sini semalam.


KANAK-KANAK menyertai aktiviti bermain bola.

Sementara itu, Abdul Basith berkata, jumlah keseluruhan kutipan zakat dari Januari hingga September tahun ini di negeri itu RM505.2 juta manakala jumlah agihan zakat RM348.2 juta.

“Bilangan keseluruhan pengeluar zakat harta bagi tempoh sama adalah seramai 244,333 orang manakala jumlah asnaf fakir dan miskin bagi tempoh sama berjumlah 45,166 keluarga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2017 @ 5:15 AM