Hishammuddin (tengah) bersama Usahawan IKS dan peniaga kecil pada majlis pelancaran Program Bootcamp eRezeki dan eUsahawan serta Karnival Majlis Permuafakatan Belia Sembrong di Taman Sri Lambak, semalam.
Mohamad Fahd Rahmat


Kluang: Serangan yang mengorbankan 235 jemaah Masjid Rawda di Sinai, utara Mesir, kelmarin membuktikan tiada negara terkecuali daripada menjadi sasaran pengganas IS dan militan Daish.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, sehubungan itu Malaysia perlu proaktif dan mengadakan kerjasama dengan pelbagai pihak selain mengingatkan rakyatnya supaya tidak mengambil mudah ancaman berkenaan.

“Insiden seperti ini terlalu banyak sekarang dan kita kena faham, tiada negara terkecuali daripada sasaran IS, militan Daish.

“Jangan ambil mudah perkara ini. Keselamatan, keharmonian dan pembangunan negara ini tidak datang dengan begitu saja, bergolek dan melayang.

“Ia berkat kepemimpinan, kesatuan, perpaduan dan profesionalisme Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), ia menjamin keselamatan kita hingga hari ini, jangan ambil mudah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Program Bootcamp eRezeki dan eUsahawan serta Karnival Majlis Permuafakatan Belia Sembrong di Taman Sri Lambak, semalam.

Beliau berkata, sehubungan itu, Malaysia akan membentangkan perkembangan isu keselamatan semasa, rantau ASEAN menerusi mesyuarat pertama Majlis Menteri-Menteri Pertahanan Pakatan Ketenteraan Islam Memerangi Keganasan (IMCTC) di Riyadh, Arab Saudi hari ini.

Katanya, intipati pembentangan termasuk kerjasama trilateral Malaysia-Filipina-Indonesia memerangi keganasan selain memperluaskan kerjasama ke negara ASEAN lain dalam mesyuarat itu yang turut disertai 41 negara anggota dan wakil diplomatik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2017 @ 5:34 AM