Rumah api di Hutan Rekreasi Tanjung Tuan, Masjid Tanah.
Salman Hamat dan Mohd Hilmie Hussin


Melaka: Selain keindahan pemandangan dikelilingi flora dan fauna masih asli rumah api Tanjung Tuan, di Taman Eko Rimba Tanjung Tuan, Alor Gajah di sini, antara yang menjadi tumpuan dalam kalangan pelancong singgah ke Melaka dan Negeri Sembilan.

Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Melaka Jefri Munir ketika ditemui berkata, rumah api tertua itu tidak dinafikan tarikannya berikutan masih berfungsi sebagai panduan kepada kapal dagang, nelayan dan penggiat aktiviti sukan air sehingga sekarang.

Beliau berkata, pelbagai program dianjurkan pihaknya dengan kerjasama agensi lain dalam usaha berterusan mempromosikan Taman Eko Rimba Tanjung Tuan, termasuk hari rumah terbuka rumah api Tanjung Tuan pada Julai setiap tahun.

“Pintu masuk ke rumah api ini hanya dibuka setahun sekali saja, berikutan itu ramai yang ambil kesempatan melihat pemandangan indah sekitar hutan simpan ini dari dalam kawasan rumah api.

“Program tumpuan lain adalah Raptor Watch pada musim penghijrahan burung dari benua Asia ke Selatan dan dari Selatan ke Asia.

“Mengikut rekod Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) ada 64 jenis burung pemangsa singgah di Taman Eko Rimba Tanjung Tuan dan berlegar-legar di perairan sekitarnya pada waktu kemuncak musim penghijrahan burung iaitu pada Mac setiap tahun,” katanya.

papan kenyataan menunjukkan jenis burung yang berhijrah mengikut laluan di situ.

Menurutnya, pernah direkodkan sehingga 45,000 burung berlegar ruang angkasa Taman Eko Rimba Tanjung Tuan kerana unggas berkenaan mencari udara panas bagi menyegarkan badan selepas menempuh cuaca dingin di habitat asal.

Jefri berkata, menjelang petang pula, burung yang berhijrah ini akan terbang kira-kira 75 kilometer ke kepulauan Sumatera, Indonesia untuk berehat sebelum kembali ke Taman Eko Rimba Tanjung Tuan untuk mencari makanan pada hari berikutnya.

“Keunikan Taman Eko Rimba Tanjung Tuan membolehkan pengunjung merasai pelbagai pengalaman dalam satu masa termasuk melalui denai hutan, mandi di pantai dan bergambar kenangan di rumah api.

“Hutan Eko Rimba Tanjung Tuan pernah dikunjungi 70,000 orang dalam satu masa, terutama pada hujung minggu dan musim cuti sekolah. Data ini kami perolehi menerusi tempatan penginapan di beberapa hotel di sekitar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2017 @ 6:00 AM