ANTARA peserta pertandingan program Rollin’ Vibes di Kuala Lumpur, semalam.
ANTARA peserta pertandingan program Rollin’ Vibes di Kuala Lumpur, semalam.
Mohd Firdaus Ibrahim


Kuala Lumpur: Hampir 1,000 pengunjung memeriahkan Program Rollin’ Vibes yang berlangsung di pekarangan tempat letak kereta Pasar Seni di sini, semalam.

Program anjuran penuntut tahun akhir jurusan Pengurusan Acara Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam itu turut mempertandingkan dua sukan lasak iaitu papan luncur dan sukan basikal BMX kategori ‘Trick’.

Ketua Projek Tengku Amira Zainuraship berkata, seramai 40 peserta menyertai pertandingan papan luncur dan 20 peserta bagi sukan basikal.

“Pemenang akan mendapat wang tunai RM300 bagi setiap kategori. Selain sukan lasak, kita juga membuka booth menjual pakaian. Kemuncaknya, tiga band indie iaitu Patriot, The Rudean dan SOG membuat persembahan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, sehingga 6 petang semalam, hampir 1,000 pengunjung memeriahkan program berkenaan.

“Kami jangka lebih ramai datang ketika acara kemuncak iaitu persembahan band indie,” katanya, seramai 16 penuntut tahun akhir terbabit bagi menjayakan program berkenaan.

Katanya, pihaknya menyifatkan program yang pertama kali dilakukan di luar kampus sebagai berjaya dengan sokongan peserta dan kehadiran pengunjung.

Untuk rekod, program itu dijayakan dengan kerjasama Persatuan Pembangunan Kemajuan Skateboard Malaysia dan Kayuh BMX.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2017 @ 6:04 AM