KEADAAN jalan yang dilimpahi air di Jalan Kok Lanas-Selising selepas hujan lebat. FOTO ihsan pembaca
Azlan Hafeedz
am@hmetro.com.my


DAERAH Pasir Puteh menjadi kawasan terbaru dinaiki air selepas 26 penduduk di Kampung Bukit Awang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Wakaf Raja, 3 petang hari ini.

Kesemua mangsa terdiri daripada lapan dewasa dan 18 kanak-kanak termasuk bayi 30 hari membabitkan lima keluarga.

Kawasan kediaman mereka dinaiki air sedalam 1.5 meter akibat limpahan dari Sungai Petai, kira-kira 100 meter dari kampung terbabit.

Kesemua mangsa dipindahkan oleh sembilan anggota bomba dan tiga polis, selain turut dibantu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Zawawi Othman.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Azhar Elmi Mustofar berkata, paras Sungai Semerak masih di tahap normal iaitu 1.22 meter (m).

"Kesemua jalan boleh dilalui kecuali jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu iaitu Kampung Panggong Tiga Daerah dan Kampung Jerus yang tidak selamat untuk kenderaan ringan.

"Banjir itu berpunca akibat hujan sejak dua hari lalu," katanya.

Portal Harian Metro, hari ini melaporkan, 42 penduduk Kampung Bechah Hangus, Ketereh dipindahkan ke PPS di Pusat Latihan & Dakwah Orang Asli Islamic Outreach ABIM Kelantan, Kok Lanas sehingga 1.30 tengah hari tadi.

Berita berkaitan:

Dengus banjir

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2017 @ 5:34 PM