ZULKIFLI (kiri) memberikan penerangan mengenai keperluan memilih kewangan Islam ditemani Pakar Syariah BNM, Dr Suhaimi Mohd Yusof, semalam.
HM Digital

Kuching: Sistem kewangan Islam di negara ini dilihat berada pada tahap baik dan dilaksanakan mengikut syariah melalui khidmat penasihat syariah di setiap institusi kewangan dan perbankan.

Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Zulkifili Mohamad Al Bakri berkata, perkara itu memberi impak positif kepada sistem kewangan Islam tempatan di mana ia kini diterima baik dalam kalangan masyarakat Muslim dan bukan Muslim di negara ini.

“Kita mahu setiap bank di negara ini memiliki penasihat syariah bagi memberi panduan mengenai pelaksanaan produk dan perkhidmatan yang berlandaskan syariah,” katanya pada sesi pocket talk sempena Karnival Kewangan Sarawak 2017, di sini, semalam.

Beliau yang juga Ahli Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, industri perbankan Islam di Malaysia kini mengalami peningkatan berikutan kepercayaan diraih pelanggan terhadap produk dan perbankan Islam yang menawarkan manfaat lebih baik kepada pelanggan kerana tidak memiliki unsur riba dan diuruskan dengan cara baik.

“Oleh sebab itu, penasihat syariah di setiap bank di negara ini perlu sentiasa memastikan produk dan perkhidmatan berlandaskan syariah bagi memberi manfaat kepada pelanggan,” katanya.

Zulkifli berkata, orang ramai terutama umat Islam perlu memilih kewangan Islam sebagai keutamaan masing-masing bagi memastikan mereka sentiasa mendapat berkat dan keredhaan daripada Allah SWT.

Menurutnya, kewangan Islam tidak memiliki unsur riba dan penipuan, dilakukan dengan transaksi benar dan berlandaskan syariah.

“Apa yang paling penting, ia turut menawarkan nilai bermanfaat dan keadilan kepada pelanggan yang menggunakan produk dan perkhidmatan perbankan Islam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2017 @ 5:38 AM