Saipul Adli Mohamad


DUA lelaki bukan saja memecah tabung derma Masjid Jamek Sungai Rambai, Bukit Mertajam dan melarikan RM3,000, malah mereka selamba berjalan di ruang solat ibadat itu dengan selipar.

Malah, seorang daripadanya yang berbadan gempal serta berseluar pendek menutup muka dengan kain bagi mengelak wajahnya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) ketika melakukan jenayah itu, 3 pagi Sabtu lalu.

Laporan polis mengenai kejadian dibuat pada 1.45 tengah hari sebelum pengurusan masjid meneliti rakaman CCTV dan nampak kelibat dua lelaki yang melakukan jenayah berkenaan.

Bertindak daripada kes berkenaan, pengurusan masjid mengawasi masjid terbabit sebelum berjaya menahan seorang lelaki berusia 26 tahun bersama motosikal menggunakan plat palsu, 8.20 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, suspek ditangkap itu berbadan gempal dan tidak mempunyai pekerjaan serta tiada rekod jenayah lampau.

"Lelaki terbabit tidak mengaku terbabit dalam kes memecah tabung derma di Masjid Jamek Sungai Rambai, tetapi mengaku terbabit dalam dua kes memecah tabung masjid lain dalam daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Utara (SPU).

"Dia ditahan di lokap untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan bagi mengenal pasti pembabitannya dalam kes lain di SPT," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2017 @ 3:54 PM
RAKAMAN CCTV menunjukkan seorang daripada dua lelaki memecah tabung masjid. FOTO ihsan Polis