PENUMPANG mendapat maklumat berhubung penerbangan mereka selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai di Bali ditutup akibat letusan Gunung Agung. FOTO EPA, Reuters/Antara Foto
BERNAMA

MALAYSIA Airlines Bhd (MAB) hari ini membatalkan semua penerbangannya ke Denpasar-Bali dari Kuala Lumpur selepas gunung berapi Agung di Bali meletus pada Sabtu lalu.

Syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, penumpang telah dimaklumkan menerusi pesanan khidmat ringkas (SMS) petang semalam dan nasihat perjalanan telahpun diposkan di laman web, Facebook dan Twitter syarikat itu.

“Kami sedang memantau dengan rapat situasi tersebut dan akan menyesuaikan operasi penerbangan kami ke dan keluar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai apabila perlu.

“Berikutan situasi ini, kami akan membenarkan pelanggan yang terjejas: mendapat pembayaran balik sepenuhnya atau menangguhkan perjalanan sehingga akhir Februari 2018; dan, menukar destinasi (bergantung kepada kekosongan tempat duduk) ke Jakarta, Surabaya atau mana-mana destinasi ASEAN yang Malaysia Airlines menawarkan khidmat penerbangan,” kata MAB.

Untuk maklumat lebih lanjut, penumpang diminta menghubungi syarikat penerbangan itu di talian 1 300 88 3000 (di Malaysia) atau +603 7843 4000 (luar dari Malaysia).

Sementara itu, AirAsia mengumumkan Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai di Bali ditutup sementara hari ini selepas letusan gunung berapi tersebut.

“Akibat penutupan sementara lapangan terbang itu, semua penerbangan AirAsia dan AirAsia X ke dan keluar dari Bali telah dibatalkan. Selain itu, penerbangan dari dan ke Lombok kekal dibatalkan hari ini,” kata syarikat penerbangan itu.

Maklumat lebih lanjut akan dikeluarkan apabila diperoleh kelak dan penumpang akan dimaklumkan mengenai status penerbangan mereka menerusi emel dan SMS, kata AirAsia.

Syarikat itu juga menggalakkan penumpangnya mengemas kini butiran hubungan mereka di laman web airasia.com untuk memastikan mereka dimaklumkan mengenai sebarang perkembangan terkini mengenai penerbangan mereka.

“Penumpang yang penerbangan mereka dibatalkan boleh memilih mana-mana pilihan pemulihan perkhidmatan berikut: menukarkan penerbangan mereka ke satu tempoh perjalanan baru di laluan yang sama dalam masa 30 hari daripada tarikh penerbangan asal tanpa tambahan kos dan tertakluk kepada kekosongan tempat duduk atau menerusi Credit Account, yang akan mengekalkan nilai tambang dalam akaun kredit bagi perjalanan akan datang dengan AirAsia,” kata syarikat penerbangan itu.

Credit Account dalam talian boleh ditebus dalam masa 90 hari daripada tarikh dikeluarkan.

"Penumpang dinasihati melayari laman web www.airasia.com dan laman media sosial AirAsia bagi mendapatkan pengumuman selanjutnya. Mereka juga digalakkan untuk memeriksa status penerbangan mereka menerusi bahagian "Manage My Booking" di laman web AirAsia,” kata syarikat penerbangan itu.

Selain itu, penumpang juga boleh mendapatkan maklumat lanjut dan bantuan dengan menghubungi pasukan sokongan pelanggan di https://support.airasia.com.

Sementara itu, Singapore Airlines (SIA) turut membatalkan lima penerbangan ke Denpasar, Bali, hari ini berikutan penutupan sementara Lapangan terbang Antarabangsa Ngurah Rai akibat letusan Gunung Agung.

Dalam jadual kemas kini Facebook syarikat penerbangan itu, SIA berkata, penerbangan yang terjejas adalah SQ938/SQ939, SQ942/SQ943, SQ946/SQ947, SQ948/SQ949 dan I176/MI175.

Menurutnya, penumpang ke Bali antara hari ini dan 4 Disember dengan tiket yang dikeluarkan pada atau sebelum 27 November boleh menghubungi pejabat tiket SIA untuk menukar masa perjalanan baharu ke laluan yang sama atau memilih untuk mendapatkan semula wang bayaran tiket.

“Tarikh baharu perjalanan perlu dilakukan pada atau sebelum 31 Januari 2018,” menurut SIA.

Selain SIA, SilkAir mengumumkan penerbangan M19128/9127 ke Lombok yang dijadualkan semula hari ini turut dibatalkan.

Sementara itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Changi mengeluarkan nasihat perjalanan hari ini dengan meminta penumpang memeriksa status penerbangan mereka dengan melayari changiairport.com, atau dengan syarikat penerbangan masing-masing.

Berita berkaitan:

‘Demi keselamatan, saya reda’

32 penerbangan AirAsia dibatalkan

Asap setinggi 4,000 meter

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2017 @ 4:46 PM