Iskandar Shah Mohamed


LELAKI warga emas ditahan polis hari ini bagi membantu siasatan kes disyaki mencabul tiga cucu perempuannya di rumah di sekitar Bandar Bukit Raja, Klang.

Seorang daripada mangsa berusia 10 tahun dikatakan dicabul datuknya yang berusia 84 tahun itu sejak empat tahun lalu ketika ketiadaan ibu bapa mereka di rumah berkenaan.

Difahamkan, suspek sering ke rumah mangsa kerana tinggal bersendirian di sekitar Klang.

Perbuatan suspek terbongkar apabila kanak-kanak malang itu enggan memasuki bilik tidurnya, lalu menceritakan perkara berkenaan kepada ibu tirinya yang berusia 38 tahun, pada 1.45 pagi, semalam.

Sumber berkata, wanita itu pada awalnya dikatakan pelik mendapati mangsa enggan tidur di biliknya.

"Apabila ditanya, mangsa kemudian memberitahu bahawa suspek (datuknya) yang sudah uzur kerap mencabul dengan cara memegang dan meraba kemaluannya sejak berusia enam tahun.

Menurutnya, mangsa turut memaklumkan bahawa dua lagi kakaknya berusia belasan tahun yang tinggal di rumah sama turut menjadi mangsa cabul namun merahsiakannya kerana bimbang akan dimarahi.

Kata sumber itu, pada 7.30 petang semalam, pasangan suami isteri berkenaan menemui suspek untuk bertanyakan perkara berkenaan namun lelaki terbabit tidak mengakuinya.

"Berikutan itu, mereka membuat laporan polis untuk tindakan lanjut," katanya memaklumkan mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk pemeriksaan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Mazelan Paijan berkata, suspek ditahan di sekitar Klang petang tadi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2017 @ 8:43 PM