ABDUL Aziz (kiri) melawat mangsa banjir di PPS Pusat Latihan & Dakwah Orang Asli Islamic Outreach ABIM Kelantan, Kok Lanas, di sini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ABDUL Aziz (kiri) melawat mangsa banjir di PPS Pusat Latihan & Dakwah Orang Asli Islamic Outreach ABIM Kelantan, Kok Lanas, di sini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Mohamad Zulhairie Manzaidi


POLIS menasihatkan mangsa banjir supaya berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) serta menyerahkan keselamatan rumah mereka kepada pihaknya.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) (Kepolisan Am), Datuk Abdul Aziz Yusof berkata, pihaknya mahu mangsa banjir mengutamakan keselamatan mereka.

"Jika dapat arahan untuk pindah daripada pihak berkuasa, mereka perlu patuh dan soal keselamatan rumah, serahkan pada kami.

"Polis membuat rondaan setiap masa selama 24 jam dan jika kawasan dinaiki air, kami akan gunakan bot ronda," katanya ketika ditemui selepas melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Pusat Latihan & Dakwah Orang Asli Islamic Outreach ABIM Kelantan, Kok Lanas, Kota Bharu, hari ini.

Turut sama dalam lawatan itu, Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Din Ahmad dan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik.

Abdul Aziz berkata, sekiranya mangsa banjir tinggal di PPS, keselamatan mereka lebih terjamin.

"Di PPS, mereka lebih selamat selain memudahkan petugas menghantar bekalan makanan berbanding tinggal di rumah yang dinaiki air," katanya.

Sementara itu, Din berkata, di Kelantan beberapa daerah sudah terjejas banjir termasuk Kota Bharu, Pasir Puteh, Tanah Merah dan Kuala Krai.

"Kita melawat PPS bagi melihat sendiri keadaan mangsa banjir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2017 @ 8:57 PM