NAJIB Razak

Kuala Lumpur: Inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) membolehkan kerajaan mengoptimumkan perbelanjaan yang memberi manfaat kepada rakyat dengan cara paling cekap dan kos efektif, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Menurutnya, sebagai contoh pada masa ini ada 20 Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh negara dengan penjimatan pembangunan RM2 bilion memandangkan ia dilaksanakan dengan mengubahsuai bangunan sedia ada serta tempoh pelaksanaan yang pantas secara purata selama 10 minggu.

“Contoh terbaik NBOS adalah UTC yang juga pusat sehenti bagi pelbagai perkhidmatan kerajaan, NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan swasta.

“Inisiatif UTC sangat unik memandangkan ia beroperasi menjangkau waktu operasi biasa (8.30 pagi hingga 10 malam) setiap hari termasuk hujung minggu.

“Sambutan dan permintaan rakyat terhadap perkhidmatan UTC amatlah menggalakkan di mana sejak 2013, UTC telah memberi perkhidmatan kepada lebih daripada 54 juta orang,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, semalam.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Juslie Ajirol (BN-Libaran) berkenaan perbelanjaan kerajaan yang berjaya dioptimumkan memberi manfaat kepada rakyat dengan cara paling cekap dan kos efektif hasil pelaksanaan NBOS.

Menurutnya, sejak dilancarkan pada 2009 sehingga sekarang terdapat lebih daripada 80 jabatan atau agensi kerajaan melaksanakan 115 inisiatif NBOS secara kolaboratif.

“Sudah tentu NBOS adalah sebuah komitmen kerajaan bagi memastikan kesejahteraan rakyat didahulukan.

“NBOS yang dibina berdasarkan tiga prinsip tonggak iaitu mesti berimpak tinggi, kos rendah dan pelaksanaan yang pantas bagi membolehkan penyampaian projek dan perkhidmatan penting dengan segera yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Beliau juga menegaskan, NBOS adalah pemangkin penting kepada matlamat jangka panjang Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2017 @ 5:54 AM