NUR Iman ( kiri ) tidak dapat menahan sebak ketika menceritakan keadaan Nur Auni Medina (gambar kecil) dalam kunjungan ahli Puteri UMNO di Taman Tuanku Puan Chik. FOTO Abnor Hamizam
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Hati ibu mana yang tidak terusik apabila bayi yang baru dilahirkan disahkan mengalami masalah jantung berlubang.

Perasaan gembira ibu muda Nur Iman Azman, 23, sebaik menimang cahaya mata sulung yang baru tiga jam dilahirkan bertukar duka apabila mengenangkan nasib bayi itu.

Menurut Nur Iman, walaupun perit namun dia reda dengan ketentuan Ilahi dan berusaha menjaga bayinya yang diberi nama Nur Auni Medina M Fazley yang kini berusia lima bulan.

“Nur Auni bergantung sepenuhnya kepada ubat-ubatan selain perlu menjalani rawatan susulan setiap bulan di Hospital Serdang, Selangor.

“Malah, saya juga perlu memberi tumpuan kepada Nur Auni kerana khuatir mengalami sesak nafas yang boleh menyerangnya secara tiba-tiba dan perlu segera membawanya ke hospital,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Tuanku Puan Chik, Bahau, semalam.

Bagaimanapun, Nur Iman yang juga suri rumah bersyukur kerana dibantu ibu mentua, Esah Buai, 62, untuk menjaga Nur Auni.

Katanya, pendapatan keluarga dan kos rawatan anaknya itu ditanggung sepenuhnya oleh suami M fazley Zainudin, 25, yang bekerja sebagai pembantu jualan di sebuah syarikat menjual kereta dengan pendapatan RM1,500 sebulan.

“Doktor menasihati supaya Nur Auni menjalani pembedahan segera untuk merawat penyakitnya itu, namun kami sekeluarga tidak mempunyai wang yang cukup.

“Saya sentiasa berdoa supaya Allah melimpahkan rezeki kepada kami dan memberi kesembuhan kepada anak kami ini. Saya sanggup buat apa saja demi melihat anak saya sembuh dan membesar seperti kanak-kanak lain,” katanya.

Orang ramai yang berhasrat untuk membantu boleh menyalurkan bantuan melalui akaun Maybank ibu mentuanya, Esah yang bernombor 155032413870.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2017 @ 8:44 AM