IBU muda masih dalam pantang, Solehah Salleh, 20, menyusukan anak sulungnya yang berusia 28 hari di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Pusat Latihan & Dakwah Orang Asli Islamic Outreach ABIM Kelantan, Kok Lanas. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Nor Hidayatidayu Razali


MANGSA bajir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan terus naik kepada 1,736 orang, pada 9 pagi ini.

Ini berbanding 1,384 mangsa, pada kira-kira 12 tengah malam tadi.

Jumlah itu membabitkan 478 keluarga yang ditempatkan di 29 PPS di tujuh daerah.

Portal eBanjir Kelantan merekodkan daerah Kota Bharu mencatat jumlah mangsa paling tinggi 711 mangsa daripada 174 keluarga yang ditempatkan di lima PPS.

Diikuti Pasir Mas 417 mangsa daripada 125 keluarga, Pasir Puteh 274 mangsa daripada 89 keluarga, Tanah Merah 143 mangsa (37 keluarga), Machang 88 mangsa (27 keluarga), Bachok 85 mangsa (22 keluarga) dan Kuala Krai 18 mangsa daripada empat keluarga.

Sementara itu, Sungai Golok di Rantau Panjang melebihi paras bahaya dengan bacaan 10.10 meter (m) berbanding malam tadi 9.79m.

Empat sungai utama lain mencatat paras amaran iaitu Sungai Galas di Dabong (35.51 m), Sungai Lebir di Tualang (32.46m), Sungai Kelantan di Tangga Krai (23.28m) dan Sungai Golok di Jenob (22.64m).

Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard di paras berjaga-jaga. Manakala, Sungai Kelantan di Tambatan Diraja dan Sungai Semerak di Pasir Puteh berada di paras normal.

Sepuluh jalan yang ditutup iaitu empat di Machang, empat di Pasir Mas dan masing-masing satu di Gua Musang serta Tanah Merah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2017 @ 10:31 AM