Mohd Hilmie Hussin


TEMPOH reman dua pesawah yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan penyelewengan Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP), disambung tiga hari lagi.

Perintah lanjutan reman bermula esok hingga 1 Disember ini ke atas suspek masing-masing berusia 46 dan 52 tahun itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Ayer Keroh Mohd Anuar Ostadi.

Terdahulu, kedua-dua suspek tiba di Kompleks Mahkamah Melaka pada 11.20 pagi dan keluar dari kamar mahkamah kira-kira 30 minit kemudian.

Sebelum ini, suspek berusia 46 tahun ditahan SPRM pada 21 November lalu di pejabat SPRM susulan penyelewengan SBPKP bernilai RM2.54 juta.

Dia yang dipercayai bersubahat dengan suspek utama iaitu Pengurus Projek Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Merlimau, kemudian direman tujuh hari bermula 22 November hingga hari ini.

Difahamkan, suspek bersama pengurus projek PPK Merlimau membuat usaha sama projek penanaman padi seluas 22.2 hektar yang dipajak di Merlimau.

Susulan penahanan suspek, SPRM turut menyita sebuah Audi A4 yang dipercayai dibeli menggunakan hasil jualan baja SBPKP.

Sementara itu, suspek berusia 52 tahun ditahan pada 22 November lalu di pejabat SPRM dan direman enam hari bermula 23 November 2017.

Setakat ini, SPRM sudah menahan lima suspek bagi membantu siasatan berkaitan penyelewengan SBPKP dan semuanya disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Berita berkaitan

Suspek keempat pula dicekup

Pesawah disyaki seleweng tuntutan baja [METROTV]

Reman siasat 23 tuntutan palsu [METROTV]

Disyaki buat tuntutan palsu RM2.54 juta

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2017 @ 1:56 PM
Dua pesawah disambung reman berkaitan penyelewengan baja padi. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan