X
KEADAAN air di Kilometer 40 Tanah Merah-Pasir Mas yang menenggelamkan landasan kereta api. FOTO Ihsan KTMB
KEADAAN air di Kilometer 40 Tanah Merah-Pasir Mas yang menenggelamkan landasan kereta api. FOTO Ihsan KTMB
Mohamad Zulhairie Manzaidi


KERETAPI Tanah Melayu Berhad (KTMB) menutup sementara laluan ke Stesen Tumpat dan Tanah Merah, susulan landasan tren itu yang ditenggelami banjir.

Pengurus Wilayah Timur KTMB Zaid Ibrahim berkata, penumpang yang menggunakan perkhidmatan itu terpaksa meneruskan perjalanan menggunakan bas yang disediakan di stesen berkenaan.

"Perkhidmatan di stesen berkenaan terhenti disebabkan Kilometer 40 Pasir Mas ke Tanah Merah ditenggelami air sedalam 0.12 meter pada pagi.

"Atas faktor keselamatan, laluan itu ditutup sementara kerana paras air semakin naik.

"Bagi penumpang Ekspres Timuran dari Stesen Johor Bahru Sentral ke Stesen Tumpat, mereka terpaksa berhenti di Stesen Tanah Merah dan meneruskan perjalanan menggunakan bas.

"Begitu juga bagi laluan berikutnya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, bagi perkhidmatan kereta api henti-henti antara Tumpat ke Gua Musang, penumpang akan melalui kaedah sama seperti penumpang Ekspres Timuran.

"KTMB membatalkan perjalanan tren henti-henti bagi laluan Tumpat ke Dabong manakala, laluan Gua Musang ke Kuala Lipis berjalan seperti biasa.

"Penumpang boleh membatalkan perjalanan mereka dan layak mendapat pulangan tambang atau membuat pertukaran tarikh perjalanan bergantung kepada kekosongan tiket," katanya.

Operasi tren sektor Pantai Timur bergantung kepada kedudukan paras air banjir dan penyediaan bas alternatif bergantung kepada keadaan jalan raya yang disahkan selamat oleh pihak berkuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2017 @ 5:54 PM
Digital NSTP Subscribe