PENDUDUK meredah air menggunakan motosikal berikutan limpahan air Sungai Golok di sekitar Pekan Rantau Panjang hari ini. FOTO BERNAMA
Siti Nor Hidayatidayu Razali


JUMLAH mangsa banjir di Kelantan terus meningkat kepada 3,216 orang 6 petang ini berbanding 2,511 mangsa 2 petang tadi.

Mereka terdiri daripada 901 keluarga yang ditempatkan di 54 pusat pemindahan sementara (PPS) di lapan daerah.

Portal eBanjir Kelantan merekodkan, daerah Kota Bharu mencatatkan jumlah tertinggi seramai 832 mangsa daripada 202 keluarga yang ditempatkan di lima PPS.

Diikuti Pasir Mas, 781 mangsa daripada 249 keluarga ditempatkan di 17 PPS, Pasir Puteh 445 mangsa (146 keluarga), Tanah Merah 439 mangsa (112 keluarga), Machang 364 mangsa (103 keluarga), Kuala Krai 127 mangsa (29 keluarga), Jeli 116 mangsa (30 keluarga) dan Bachok 112 mangsa (30 keluarga).

Sementara itu, dua sungai utama melepasi paras bahaya iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang 10.44 meter (m) dan Sungai Golok di Jenob 23.79m.

Empat sungai berada pada paras amaran iaitu Sungai Galas di Dabong, Sungai Lebir di Tualang, Sungai Kelantan di Kuala Krai, Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard. Manakala, Sungai Kelantan di Tambatan Diraja berada di paras berjaga-jaga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2017 @ 8:34 PM