Kru kapal dagang, FPSO Perisai Kamelia menyelamatkan warga Indonesia yang ditemui terapung di kedudukan 2.4 batu nautika timur Tanjung Punggai, pagi semalam. FOTO ihsan APMM
Ibrahim Isa
ibrahim@hmetro.com.my


CUBA lari daripada polis dengan terjun ke laut, seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia nyaris lemas apabila hanyut lebih sembilan jam di perairan Tanjung Penawar, Kota Tinggi, Johor, sebelum diselamatkan sebuah kapal dagang, 7.30 pagi semalam.

Timbalan Pengarah Operasi Daerah Maritim Tanjung Sedili, Komander Mohammad Othman berkata, lelaki dikenali sebagai Hanafi itu ditemui terapung dan dalam keadaan lemah di kedudukan 2.4 batu nautika timur Tanjung Punggai oleh kapal dagang, FPSO Perisai Kamelia yang melalui kawasan berkenaan.

Menurutnya, kapten kapal memaklumkan kepada pihak berkuasa dan Pejabat Operasi Wilayah Selatan memaklumkan kepada Daerah Maritim 7 Tanjung Sedili.

"Sebuah bot peronda dan sepasukan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dikejarkan ke kawasan berkenaan bagi membantu menyelamatkan mangsa.

"Kami dapati mangsa dalam keadaan lemah kerana hanyut hampir sembilan jam.

"Kita difahamkan, mangsa hanyut dari perairan Tanjung Penawar pada 10 malam kelmarin ketika disyaki cuba keluar dari perairan Malaysia menuju ke Indonesia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mangsa dipercayai menunggu bot pancung di kawasan berhampiran dan nekad terjun ke laut selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“Mangsa dibawa ke Jeti Marina untuk pemeriksaan di klinik berhampiran dan dibawa ke pejabat APMM Daerah Maritim 7 Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2017 @ 3:49 PM