NOORLIA (dua kiri) menyerahkan plak sijil BFHI kepada Ong (tiga kanan). FOTO Zuhainy Zulkiffli
Zuhainy Zulkiffli


HOSPITAL Lam Wah Ee di Jalan Tan Sri Teh Ewe Lim, Jelutong, Georgetown menjadi hospital swasta ketiga di Pulau Pinang yang diiktiraf sebagai Hospital Rakan Bayi.

Ia adalah hasil usaha berterusan hospital terbabit yang aktif memberi sokongan, menerapkan ilmu dan mempromosikan kempen penyusuan susu ibu dalam kalangan pelanggannya dan masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Program Inisiatif Hospital Rakan Bayi (BFHI) Dr Adele Tan berkata, program berkenaan sudah dilancarkan sejak 2014 dan mendapat sambutan menggalakkan daripada banyak pihak.

Katanya, antara aktiviti dijalankan ialah memberi pendedahan kursus dalam kalangan kakitangan terbabit khususnya jururawat bagi dipraktikkan kepada ibu dan bayi.

"Kakitangan turut menjalani latihan selain menghadiri seminar dan program pengucapan awam bagi pengisian ilmu penyusuan.

"Kini kami mempunyai kelab sokongan iaitu Kelab Koala dengan talian 24 jam bagi membantu ibu yang mempunyai masalah ketika menyusukan bayi mereka," katanya yang juga Penguasa Perubatan di hospital berkenaan.

Adele ditemui ketika majlis penyerahan plak sijil BFHI oleh Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri bahagian Kesihatan Awam Negeri Pulau Pinang, Datuk Dr Noorlia Yahaya kepada Presiden dan Lembaga Pengarah Hospital Lam Wah Yee Tan Sri Ong Gim Huat yang mewakili hospital terbabit.

Sementara itu, Noorlia berkata, kejayaan hospital berkenaan diharap menjadi inspirasi kepada hospital swasta lain bagi menyertai BFHI.

Katanya, sebanyak enam hospital kerajaan di negeri ini menyertai BFHI dan komitmen hospital swasta diperlukan bagi menjayakan kempen penyusuan susu ibu.

"Di Malaysia, 130 hospital kerajaan diiktiraf BFHI serta masing-masing tiga di hospital universiti dan hospital angkatan tentera.

"Manakala hanya 17 daripada 175 hospital swasta di negara ini diiktiraf sebagai Hospital Rakan Bayi," katanya.

Dua hospital swasta di negeri ini iaitu Hospital Adventist Pulau Pinang dan Hospital Pakar KPJ masing-masing sudah diiktiraf BHFI pada 2005 dan 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2017 @ 4:16 PM