PASUKAN APM Kedah ditugaskan membantu mangsa banjir di Tanah Merah dan Pasir Mas. FOTO ihsan APM Kedah
PASUKAN APM Kedah ditugaskan membantu mangsa banjir di Tanah Merah dan Pasir Mas. FOTO ihsan APM Kedah
Aizat Sharif


TIGA PULUH pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah dikerah ke Kelantan semalam bagi membantu mangsa yang terbabit dalam bencana banjir di negeri itu.

Ketua Misi Bantuan ke Kelantan, Leftenan (Pertahanan Awam) Roshidi Kassim berkata, pasukan APM Kedah ditugaskan untuk membantu mangsa di dua daerah iaitu di Tanah Merah dan Pasir Mas.

“Kami membantu di pusat pemindahan yang sudah dibuka di daerah berkenaan serta membawa pegawai kesihatan untuk ditempatkan di pusat pemindahan.

“Selain daripada kekuatan anggota dan pegawai, kita juga turut membawa bersama aset APM Kedah seperti dua lori pengangkut, sebuah kenderaan pacuan empat roda dan dua bot yang akan digunakan untuk tugasan menyelamat di Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, perjalanan ke Kelantan bermula pada 5.30 petang dan sebelum itu pula, anggota yang terbabit diberikan taklimat dan pesanan oleh Pengarah APM Kedah, Leftenan Kolonel (Pertahanan Awam) Awang Askandar Ampuan Yaacub yang mengharapkan anggota yang bertugas supaya sentiasa mementingkan keselamatan dan kerjasama antara setiap agensi.

Selain itu juga, APM Kedah diharapkan dapat memberikan bantuan yang terbaik kepada pasukan penyelamat serta mangsa banjir di daerah terbabit.

Berita berkaitan:

Dengus banjir

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2017 @ 9:32 PM
Digital NSTP Subscribe