SITI Muliani (kiri) dan Noreimi melihat rumah mereka yang kini tinggal rangka.
Khairul Najib Asarulah Khan

Nilai: “Ketika menghubungi bomba, api marak dengan cepat menyebabkan saya terpaksa bergegas keluar dari rumah menyelamatkan diri,” kata Siti Muliani Nordin, 38, mangsa kebakaran di Kampung Katub, Lenggeng di sini, kelmarin.

Kejadian jam 8 malam itu menyebabkan rumah pusaka berusia 90 tahun musnah sekelip mata.

Siti Muliani berkata, tiga jam sebelum kejadian berlaku petir menyebabkan kawasan itu terputus bekalan elektrik.

“Disebabkan cuaca semakin gelap, ayah memasang lilin dalam rumah termasuk di biliknya sebelum tiba-tiba kami terdengar bunyi letupan seperti dahan pokok menghempap rumah.


KEADAAN rumah yang terbakar, kelmarin.

“Ketika mencari punca letupan, anak saya terlihat asap dari arah bilik ayah dan sebaik suami, Noreimi Mahadi, 37, membuka pintu bilik dia melihat api marak di siling.

“Tanpa membuang masa, suami meminta saya menghubungi bomba sementara dia menjirus air menggunakan baldi. Empat anak termasuk ayah dan ibu yang berkerusi roda bergegas keluar rumah menyelamatkan diri,” katanya di rumahnya, semalam.

Menurutnya, dalam tempoh lima minit, api membakar seluruh rumah menyebabkan mereka sekeluarga tinggal sehelai sepinggang.

“Mujur ketika kejadian itu tiada angin kencang, jika tidak pasti rumah jiran turut terbakar. Segala barangan seperti peralatan elektrik, pakaian, perabot, dokumen dan dua motosikal musnah dan kami kerugian lebih RM200,000,” katanya.

Katanya, buat masa ini, dia sekeluarga menumpang sementara di rumah adiknya yang terletak bersebelahan rumah berkenaan.

“Rumah pusaka ini terlalu banyak kenangan dan nostalgia buat kami sekeluarga, namun saya reda dan bersyukur kerana semua ahli keluarga terselamat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2017 @ 7:37 AM