LAPORAN Harian Metro, semalam.
Salman Hamat

Melaka: “Saya berasa senang hati kerana mendapat panggilan daripada pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tadi (semalam). Mohon urusan saya dipermudah dan dipercepatkan. Saya tak mahu berangan-angan lebih kerana risau urusan ini terhenti separuh jalan.

“Sudah lama saya tunggu, harap netizen doakan agar urusan saya dipermudahkan dan berjaya seperti diharapkan,” kata gadis tanpa identiti yang hanya mahu dikenali sebagai Ain berusia 23 tahun.

Katanya, walaupun berasa lega selepas dihubungi pegawai JPN hatinya belum tenang selagi tidak menerima sebarang dokumen pengenalan diri sekali gus mempunyai identiti secara rasmi yang sah.

Ketika dihubungi semalam, gadis itu berkata, dia akan ke Pejabat JPN Putrajaya, dalam tempoh terdekat untuk urusan pendaftaran seperti disarankan oleh jabatan itu sebelum diteruskan dengan proses selanjutnya.

Ain berkata, dia juga sedia membantu JPN dalam melakukan siasatan berhubung dakwaannya ditipu sebanyak RM5,000 oleh individu mengaku sebagai pegawai jabatan terbabit kononnya boleh membantunya mendapatkan Mykad menggunakan jalan belakang.

“Kalau sudah dapat identiti secara rasmi selepas ini saya boleh teruskan banyak perancangan yang terbantut sebelum ini,” katanya.

Sementara itu Pengarah JPN Melaka, Norazle Sulaiman berkata, pihaknya berharap gadis itu dapat tampil segera untuk mendaftar dengan jabatan itu serta membantu siasatan mengenai individu mendakwa boleh membantunya mendapatkan Mykad menggunakan jalan belakang.

Harian Metro, semalam melaporkan kisah gadis berkenaan yang masih belum mempunyai dokumen pengenalan diri atau diiktiraf sebagai rakyat daripada mana-mana negara walaupun sudah berusia 23 tahun.

Dakwanya, sejak beberapa tahun lalu dia pernah ke pejabat JPN termasuk di Putrajaya untuk memohon Mykad, namun tidak berjaya berikutan tidak ada bukti boleh menyokong dia dilahirkan di negara ini.

Gadis itu berkata, kehidupannya rumit dan dia boleh dilabel sebagai orang hanyut kerana langsung tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

Ain, mendakwa dia membesar di kawasan lorong di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur sebelum dijaga keluarga angkat pada usianya kira-kira enam tahun dan kemudian diserahkan kepada sebuah lagi keluarga angkat beberapa tahun kemudian.

Berita berkaitan:

Belenggu identiti

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2017 @ 8:11 AM