Dadah dan senjata yang dirampas AADK di port penagih dadah di Padang Terap. FOTO ihsan AADK
Meor Riduwan Meor Ahmad


SEMBILAN penagih dadah tegar dicekup Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) daerah Padang Terap ketika melepaskan gian dalam keadaan hujan lebat di dua lokasi di Padang Terap, petang semalam.

Operasi bersepadu bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) itu dijalankan pada 6 petang di Kampung Tanjung Piring dan Felda Lubuk Merbau berdasarkan aduan awam serta risikan AADK sejak seminggu lalu.

Pengarah AADK Kedah, Mahadzir Elias berkata, Felda Lubuk Merbau dan Kampung Tanjung Piring menjadi tumpuan penagih dadah.

Beliau berkata, pihaknya menghadapi kesukaran kerana hujan lebat mengganggu operasi, namun serbuan diteruskan.

"Serbuan pertama di Felda Lubuk Merbau, kita menahan lima orang yang sedang leka menagih dadah di kawasan ladang kelapa sawit.

"Dalam serbuan kedua di Kampung Tanjung Piring pula, empat lagi disyaki penagih dadah ditangkap. Mereka didapati menjadikan kawasan hutan di kampung sebagai kawasan selamat menagih dadah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semua yang ditahan berusia antara 21 hingga 49 tahun dan bekerja sebagai penoreh getah, nelayan serta pesara tentera.

"Kita percaya port ini menjadi kawasan aktif hasil penemuan penyedut minuman dipercayai digunakan bagi aktiviti membungkus dadah.

"Semua yang ditahan dibawa ke IPD Padang Terap dan ujian saringan dijalankan mendapati mereka positif dadah jenis opiat dan methamphetamine.

"Empat daripada mereka diserahkan kepada polis untuk disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala lima dibawa ke Pejabat AADK Daerah Padang Terap dan disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983," katanya.

Mengulas lanjut, Mahadzir berkata, pihaknya turut merampas senjata tajam yang dipercayai digunakan bila terdesak dalam serbuan itu.

"Pihak AADK sentiasa memerlukan maklumat berkaitan dadah yang berlaku sama ada di rumah mahupun kawasan kejiranan serta kewujudan port penagihan agar tindakan dapat diambil secepat mungkin.

"Kita kena sedar dadah melalui satu fasa daripada konvensional kepada sintetik yang mempunyai campuran bahan kimia dan membahayakan sehingga menyebabkan pembunuhan dan sebagainya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2017 @ 1:54 PM