Lai menceritakan bagaimana dia nyaris ditipu hampir RM4,000 apabila dihubungi seorang wanita yang tidak dikenali menuntut tunggakan pembayaran kad kredit. FOTO Mikail Ong
Rudy Syareme Sheriffudin


PESARA nyaris ditipu RM4,000 apabila dihubungi seorang wanita tidak dikenali menuntut tunggakan pembayaran kad kredit atas pembelian barang kemas, Isnin lalu.

Lai Kok Tin, 58, berkata, wanita itu memaklumkan dia adalah wakil bank di Kuala Lumpur.

Menurutnya, dia dikejutkan dengan penggunaan kad kredit atas namanya untuk membeli barang kemas pada 26 November lalu dan akaun kad itu kononnya dibuka di Johor Bahru.

Katanya, wanita itu kemudian menuntut tunggakan pembayaran perlu dijelaskan segera bagi mengelak dikenakan tindakan caj kelewatan.

“Saya tidak pernah guna kad kredit bank berkenaan dan tarikh penggunaan kad tidak betul kerana saya berada di Pulu Pinang sepanjang tempoh berkenaan.

“Saya bimbang segala butiran peribadi diri diketahui mereka termasuk nombor kad pengenalan sedangkan sebelum ini tidak pernah memberi kepada sesiapa butiran diri atau membuat permohonan kad kredit,” katanya pada sidang media di Pejabat Khidmat Gerakan Pantai Jerejak, Georgetownhari ini.

Hadir sama, Penyelaras Gerakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Jerejak Oh Tong Keong.

Lai berkata, sebelum ini dia pernah dihubungi seorang lelaki dan menuntut pembayaran sama sedangkan menafikan penggunaan kad kredit seperti didakwa.

Katanya, ketika itu dia diberikan nasihat khidmat pelanggan berhubung masalah berkenaan kononnya dari pihak Bank Negara Malaysia (BNM).

"Saya menyatakan mahu membuat laporan polis berhubung perkara itu sebelum pihak terbabit memutuskan panggilan telefon.

“Saya membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Patani pada 10.25 pagi semalam dan merasa ada sindiket penipuan menggunakan butiran peribadi diri.

“Saya bernasib baik kerana tidak ditipu dan turut dimaklumkan pihak polis banyak laporan diterima berhubung perkara itu,” katanya.

Sementara itu, Oh menasihati orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan sindiket penipuan berkenaan selain melakukan semakan lanjut dengan pihak bank.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2017 @ 3:44 PM