NAJIB ketika sesi lawatan ke lot Pejabat Imigresen selepas merasmikan UTC Negeri Sembilan. FOTO Hazreen Mohamad
Alias Abd Rani


KAUNTER bersepadu 1 Serve yang menggabungkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) antara pembaharuan diperkenalkan Pusat Transformasi Bandar (UTC).

Negeri Sembilan menjadi lokasi pertama untuk pelaksanaan sistem ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, melalui pembaharuan ini, pelanggan tidak perlu mengambil nombor baru untuk perkhidmatan lain kerana satu kaunter menyediakan perkhidmatan untuk ketiga-tiga agensi.

Beliau berkata, selain itu UTC Seremban juga menempatkan beberapa agensi mencari pekerjaan antaranya Skim Latihan 1Malaysia (SL1M), Jobs Malaysia dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU).

“Pembinaan UTC ke-20 ini membabitkan kos RM34.29 juta antara inisiatif kerajaan bagi memudahkan rakyat berurusan setiap hari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan UTC Negeri Sembilan di Ampangan, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Datuk Mohamad Hasan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Najib berkata, UTC diwujudkan mengambil tiga kriteria iaitu pelaksanaan membabitkan kos minimum, kesan yang meluas dan disiapkan dalam tempoh singkat.

“UTC ini siap dalam tempoh 12 minggu dengan menambah baik bangunan sedia ada. Jika sebelum ini, bangunan sedia ada agak kurang sambutan tapi kali ini, semakin meriah.

“Sehingga Ogos lalu, 54 juta orang berurusan di UTC di seluruh negara,” katanya.

Pada majlis itu juga, Najib turut meluluskan pembinaan dewan orang ramai serta jejantas bagi memudahkan mereka terutama dari Ampangan melintas ke bangunan UTC.

UTC yang diilhamkan Najib adalah satu daripada inisiatif di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Ia menempatkan pelbagai agensi kerajaan pusat dan negeri, badan berkanun serta swasta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2017 @ 4:54 PM