Mangsa banjir, Raja Mariam Raja Kechik, 42, membawa anaknya, Mohamad Izhar Abdul Ghani, 2 tahun, membuat pemeriksaan kesihatan yang disediakan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bunohan, Tumpat. Mereka antara 570 mangsa banjir yang ditempatkan di PPS sekolah itu selepas air Sungai Golok mula melimpahi tebing sejak Selasa lalu. FOTO Syamsi Suhaimi
Siti Nor Hidayatidayu Razali


MANGSA banjir di Kelantan menunjukkan penurunan kepada 12,783 orang pada 2 petang hari ini berbanding 13,466 mangsa sebelum itu.

Jumlah itu membabitkan 4,956 keluarga yang ditempatkan di 70 pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh daerah.

Jeli dan Machang pulih sepenuhnya apabila semua PPS di tiga daerah itu ditutup tengah hari tadi.

Menurut portal ebanjir Kelantan, jumlah mangsa banjir di daerah Pasir Mas mencatat jumlah paling tinggi 9,622 mangsa daripada 3,966 keluarga di 46 PPS.

Ia diikuti, Tumpat 1,406 mangsa membabitkan 473 keluarga, Pasir Puteh (821), Kota Bharu (557), Tanah Merah (195) dan Kuala Krai seramai 182 orang.

Sementara itu, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang masih melebihi paras bahaya dengan bacaan 10.45 meter (m).

Manakala, Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard di paras berjaga-jaga 12.17m dan enam sungai utama lain kini berada di paras normal.

Sebanyak 21 jalan ditutup kepada kenderaan termasuk 14 di Pasir Mas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2017 @ 5:12 PM