ALAT untuk menagih yang dirampas dalam serbuan di Padang Terap.
HM Digital

Sik: Seorang koperal polis berusia 25 tahun cedera di mata akibat disembur serbuk lada oleh suspek pengedar dadah ketika serbuan Op Jihad Dadah Bersepadu dilakukan polis.

Tokan dadah berusia 26 tahun itu menyembur serbuk lada ke arah mangsa ketika mahu meloloskan diri jam 4 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, operasi bersepadu itu dilakukan bermula jam 12 tengah hari hingga 7 malam di enam kampung di Sik membabitkan Kampung Keda Sungai Semiar, Kampung Desa Jaya, Kampung Banggol, Kampung Lintah, Kampung Kubang Yoi dan Kampung Danglau.

Menurutnya, kejadian pergelutan itu berlaku ketika serbuan dilakukan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Banggol, Mukim Jeneri, Jeniang.

“Tindakan itu menyebabkan anggota polis terbabit mengalami pedih mata manakala suspek turut cedera di kepala dan hidung.

“Polis sebelum itu cuba menahan suspek yang dilihat memandu sebuah kereta Proton Wira dalam keadaan mencurigakan.


ANTARA lapan penagih yang ditahan selepas ‘port’ di sekitar Padang Terap diserbu.

“Polis kemudian menahan kereta suspek dan mengarahkannya keluar dari dalam kenderaan.

“Suspek bagaimanapun cuba melarikan diri selepas menyembur serbuk lada pada anggota polis menyebabkan berlaku pergelutan,” katanya.

Abdull Razak berkata, hasil pemeriksaan lanjut pada beg galasnya menemui bungkusan plastik hitam mengandungi sembilan peket plastik lutsinar berisi heroin seberat 233 gram, satu beg kain kecil berzip berisi sembilan paket plastik lutsinar syabu (20g).

Abdull Razak berkata, operasi sama disertai 25 anggota polis dari IPD Sik dan IPD Padang Terap serta Anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Padang Terap, lapan penagih berusia 20 hingga 50 tahun turut ditahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2017 @ 8:00 AM