Mahaizura Abd Malik
mahaizura@hmetro.com.my

Bangi: Selepas episod hujan lebat dan berterusan berakhir semalam, beberapa negeri terutama kawasan rendah dan berhampiran pesisir pantai dijangka mengalami air pasang paling besar tahun ini bermula Sabtu hingga Selasa ini berikutan fenomena bulan penuh supermoon atau dikenali sebagai bulan perigee.

Pengarah Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Arip berkata, fenomena bulan penuh yang kelihatan lebih besar dan terang berikutan kedudukannya paling hampir dengan bumi berbanding biasa akan menyebabkan paras air di laut meningkat dan menjadi air pasang besar bukan saja di negara kita malah seluruh dunia.

“Situasi banjir terutama di pantai timur yang memasuki lapan hari setakat ini, tiada kaitan dengan fenomena berkenaan, namun ia mengambil masa agak lama untuk surut puncanya mungkin limpahan air Sungai Golok kesan daripada hujan lebat yang berlaku di Thailand ketika ini.

“Berdasarkan ramalan cuaca kawasan penumpuan hujan akan beransur bergerak ke Laut Andaman dan Lautan Hindi, hanya beberapa hujan biasa pada sebelah petang berlaku di beberapa kawasan dan kita jangkakan banjir semakin beransur pulih mulai hari ini (semalam) sebelum kemunculan air pasang besar bermula 2 Disember ini.

“Namun, air pasang ini tidak akan memudaratkan sangat cuma kemungkinan menjejaskan kawasan rendah dan berhampiran pantai kerana mengikut ramalan tiada cuaca buruk dan angin kencang berlaku dalam tempoh fenomena ini,” katanya kepada media selepas Bicara Persada ke-40 Bertajuk Banjir Pulau Pinang: Dah Terhantuk Baru Terngadah di Bangunan Canselori Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2017 @ 8:16 AM