MUSA mengetuai perarakan sempena sambutan Malidur Rasul Peringkat Negeri Sabah. FOTO Nasrawati Syarifuddin
Nasrawati Syarifuddin


LEBIH 10,000 peserta berarak sambil berselawat sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Sabah dari perkarangan Majlis Perbandaran Tawau (MPT) ke Padang Perbandaran Tawau, hari ini.

Perarakan disertai 85 kontinjen mewakili jabatan dan agensi kerajaan, syarikat swasta, pertubuhan bukan kerajaan serta pelajar.

Perarakan sejauh 1.8 kilometer (km) itu turut disertai oleh Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dan timbalannya, Datuk Yahya Hussin bersama beberapa menteri Kabinet Sabah.

Terdahulu, dalam ucapan Musa berkata, sempena sambutan Maulidur Rasul itu, umat Islam dituntut menghayati serta mencontohi keperibadian Rasulullah SAW, mengeratkan ukhwah, menjadi hamba Allah SWT yang bertakwa dan umat Islam yang cemerlang sesuai dengan tema 'Kesatuan Ummah, Kesejahteraan Rakyat'.

"Asas dan kunci kejayaan masa hadapan bukan terletak pada kekayaan sumber alam semata-mata.

"Kerjasama dan sokongan rakyat amat penting bagi meneruskan kesinambungan pembangunan dalam suasana masyarakat yang harmoni, damai dan aman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2017 @ 11:58 AM