Motosikal dirampas daripada suspek. FOTO Ihsan polis.


POLIS Kota Tinggi menahan lapan individu termasuk dua yang dikehendaki berkaitan kes bunuh dan dadah pada dua serbuan berasingan di sekitar Teluk Ramunia, Johor, jam 1 pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Ahsmon Bajah berkata, hasil risikan serta maklumat awam, anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi melancarkan Ops Lejang Ramunia dan menyerbu sebuah rumah di Kampung Baru Teluk Ramunia, Sungai Rengit, jam 1 pagi Rabu lalu.

“Hasil serbuan, kami menahan tiga lelaki dan merampas sebuah Nissan Almera yang dilaporkan hilang di Seri Alam.

“Pemeriksaan lanjut menemui dua paket dadah syabu dan Eramin 5 dengan masing-masing seberat satu gram pada seorang daripada mereka.

“Seorang daripada suspek dalam senarai dikehendaki mengikut Akta Rawatan dan Pemulihan Dadah manakala seorang lagi dikehendaki berkaitan kes bunuh di Gelang Patah,” katanya dihubungi, hari ini.

Menurut beliau, hasil siasatan ke atas ketiga-tiga suspek itu, pihaknya menyerbu sebuah rumah di kawasan berhampiran dan menahan lima individu termasuk dua wanita, jam 2.15 pagi.

Katanya, dalam serbuan itu, pihaknya turut merampas empat motosikal dengan nombor casis dan enjin dua daripadanya sudah diubah suai manakala dua lagi dilaporkan hilang di Seri Alam.

“Penahanan kelapan-lapan suspek berusia 20 tahun hingga 40-an ini membolehkan kami menyelesaikan 11 kes curi motosikal.

“Kami juga sudah mengenal pasti tiga dalang kumpulan jenayah terbabit yang masih bebas dan yakin dapat menahan suspek dalam tempoh terdekat,” katanya.

Kelapan-lapan suspek direman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan dan Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2017 @ 2:53 PM