NOR Syamsita menunjukkan ikan budu yang telah diperap dengan asam jawa atau asam keping bersama garam kasar sebelum disimpan selama dua atau tiga bulan di Pasar Tumpat. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris


IKAN budu yang hanya muncul ketika musim tengkujuh menjadi rebutan penduduk Kelantan sebagai juadah pembangkit selera ketika banjir.

Meskipun baunya sangat 'istimewa' seperti ikan pekasam, namun ia enak selepas digoreng bersama telur dan bawang atau dimasak gulai lemak mahupun sambal.

Peniaga ikan budu di Pasar Tumpat, Nor Syamsita Hussin, 37, berkata, cara penghasilan ikan budu mudah, iaitu dengan memerapnya bersama asam jawa atau asam keping bersama garam kasar dan disimpan selama dua atau tiga bulan.

Katanya, ikan digunakan sama ada ikan kembung, selayang, tongkol, gelama dan muduk.

"Saya sudah lama menjual ikan budu ini dan hasilkan sendiri menggunakan resepi arwah ibu. Proses pemerapan pula makan bulan jadi saya buat sebelum musim tengkujuh lagi.

"Biasanya saya akan guna ikan yang tidak habis dijual untuk jadikan ikan budu supaya tidaklah membazir," katanya yang menjual 10 kilogram (Kg)

ikan budu setiap hari.

Menurutnya, harga ditetapkan bergantung kepada jenis dan saiz ikan yang ada semurah RM1 seekor (ikan selayang), manakala RM15 seekor bagi ikan jemuduk.

ANTARA jenis ikan yang dihasilkan menjadi ikan budu adalah ikan kembung, selayang, tongkol, gelama, betong dan muduk. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Nor Syamsita turut menerima pertanyaan daripada pembelinya terutama orang luar Kelantan yang bertanyakan rasa dan cara memasaknya.

"Ramai juga yang tertukar ikan budu ini dengan ikan pekasam dan ikan jeruk. Selepas dijelaskan barulah mereka faham dan sebelum memasaknya, ia perlu direndam kira-kira 30 minit untuk mengurangkan rasa masin dan lebih bersih," katanya.

Seorang pembeli, Mohd Afandi Mohamad, 47, berkata, boleh dikatakan seminggu sekali dia akan ke Pasar Tumpat untuk membeli ikan budu dan menyifatkan juadah itu pembuka selera ketika hujan.

"Biasanya saya akan beli dua atau tiga ekor ikan dan ia cukup untuk stok dalam seminggu kerana ia hanya hidangan sampingan bukan menu utama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2017 @ 5:16 PM